“SELANGOR ADVANCE” BANTU PEMBEKAL PEROLEH MODAL PUSINGAN

Shah Alam – Mulai 1 Julai 2020, permohonan kemudahan pembiayaan tunai akan dibuka secara berfasa kepada para kontraktor dan penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan Kerajaan Negeri Selangor, agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Selangor, serta pihak berkuasa tempatan, seperti yang diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari baru-baru ini. Kemudahan yang bakal dilaksanakan melalui inisiatif Selangor Advance ini akan membolehkan kontraktor dan penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan Kerajaan Negeri Selangor memperbaikkan kecairan tunai untuk digunakan sebagai modal pusingan bagi perniagaan mereka.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau lebih dikenali sebagai MBI, yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, telah dilantik sebagai agen pelaksana inisiatif Selangor Advance ini.

Kontraktor dan penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan Kerajaan Negeri Selangor boleh memilih untuk mendapatkan pembayaran awal bagi invois yang disahkan setelah siap memberi perkhidmatan/kerja/membekal barangan dengan kaedah pemfaktoran invois. Mereka yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian di www.selangoradvance.com.my. Kemudahan ini ditawarkan kepada kontraktor dan penyedia perkhidmatan kepada Kerajaan Negeri, agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri, dan pihak berkuasa tempatan secara berfasa. Ianya bakal dibuka kepada sektor lain pada masa akan datang bergantung kepada maklumbalas yang diterima oleh para pengguna inisiatif Selangor Advance ini.

Selangor Advance berpotensi memberi manfaat kepada kontraktor dan penyedia perkhidmatan di negeri ini yang berhadapan dengan cabaran kecairan tunai sebagai modal pusingan. Melalui kemudahan yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor ini, mereka berpeluang mendapat bayaran kerja dan perkhidmatan secepat tempoh 48 jam setelah kerja disiapkan dan semua dokumen yang dimuatnaik melalui platform Selangor Advance disahkan lengkap dan sahih.

Proses permohonan untuk menyertai Selangor Advance adalah amat mudah. Ianya boleh dibuat secara dalam talian dan dokumen utama yang diperlukan ialah salinan kad pengenalan ahli lembaga pengarah syarikat dan penyata bank selama 6 bulan terkini. Untuk meringankan beban para kontraktor dan penyedia perkhidmatan, cagaran tidak diperlukan untuk menyertai program ini. Pemohon akan dihubungi dalam masa 2 hari bekerja untuk maklumbalas berkaitan status permohonan setelah mendaftarkan minat dan menghantar dokumen permohonan dengan lengkap.

Sebaik diluluskan sebagai kontraktor/penyedia perkhidmatan berdaftar, pemohon boleh mula memuatnaik invois secara dalam talian di platform Selangor Advance bagi memohon pembayaran awal sehingga 70% nilai invois. Kemudahan yang disediakan ini adalah patuh shariah yang berlandaskan Tawarruq atau komoditi Murabahah yang mana caj yang dikenakan adalah serendah 1% daripada nilai invois. Nilai minimum bagi setiap invois untuk menggunakan kemudahan pembayaran awal ini ialah RM10,000 dan tiada had maksimum bagi setiap nilai invois. Sekiranya permohonan pembayaran awal diluluskan, pembekal boleh menerima sehingga 70% daripada jumlah nilai invois sepantas 48 jam manakala baki bayaran nilai invois akan dibayar mengikut terma biasa di dalam invois.

Permohonan bagi menyertai kemudahan Selangor Advance dibuka mulai 1 Julai 2020. Anggaran sebanyak RM100 juta dana permulaan telah diperuntukkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor pada April lalu untuk merancakkan sektor ekonomi di negeri ini.

Maklumat lanjut mengenai Selangor Advance boleh didapati dengan menghubungi talian 018- 282 8502 / 018-282 8227, emel info@selangoradvance.com.my atau layari laman web www.selangoradvance.com.my.

© Copyright - Menteri Besar Selangor Incorporated.