JELAJAH 360° SMART SELANGOR BERJAYA MEMPERKENALKAN AGENDA NEGERI MENERUSI INISIATIF “SMART STATE ASIA” MENJELANG 2025

KLANG: Inisiatif Smart Selangor yang menjadi hala tuju pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai YAB Menteri Besar Tuan Amirudin Shari kini semakin berjaya diperkenal kepada rakyat melalui 12 domain utama berteraskan teknologi dan IoT.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015 dan diperkasakan sehingga tahun ini, penggunaan aplikasi pintar serta inisiatif-inisiatif lain yang berkaitan telah meningkatkan kualiti dan gaya hidup penduduk di Selangor selepas kejayaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Smart Selangor membantu memudahkan urusan seharian rakyat di Selangor sama ada yang berurusan dengan agensi atau jabatan di bawah kerajaan negeri mahupun urusan lain.

Kini, dasar ini akan terus disebatikan kepada setiap peringkat masyarakat kerana inisiatif ini akan terus diperkasa dengan fokus yang lebih menyeluruh dan akan menyentuh aspek ekonomi dan sosial. Ia berada dalam kerangka dan landasan yang dirancang sebagai usaha untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pintar di rantau Asia menjelang 2025.
Pemilihan Klang sebagai lokasi ketiga bagi siri keenam jelajah tahun ini mempunyai signifikan yang tersendiri apatah lagi bandar ini merupakan Bandar DiRaja bagi negeri Selangor serta mempunyai kepadatan penduduk yang tertinggi.

Rakyat Selangor diajak memanfaatkan sebaiknya pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri di bawah program berkenaan bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Jelajah 360° Smart Selangor juga dilihat mampu menghubungkan rakyat secara terus kepada pentadbiran negeri dan pada masa yang sama ‘service delivery’ kerajaan negeri dapat ditingkatkan.

Antara agensi yang terlibat pada kali ini ialah Jawatankuasa Tetap Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor (Bahagian Pengurusan Maklumat), Perbadanan Perpustakaan Awam (PPAS), Majlis Daerah Klang, Landasan Lumayan Sdn Bhd, SMARTSEL Sdn Bhd, KDEB Waste Management Sdn Bhd, INPENS International College, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Negeri Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, MVP Basketball, Football Association Selangor, Hijrah Selangor, Yayasan Selangor, Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, dan Tourism Selangor.
Melalui Jelajah 360° Smart Selangor, pelbagai program bakal disediakan untuk para pengunjung. Selain mendapat pendedahan kepada agenda Smart Selangor, Inisiatif Peduli Rakyat dan aktiviti lain untuk rakyat Selangor dapat diperkenalkan dalam suasana yang lebih santai dan meriah termasuklah trak VR Smart Selangor, pameran agensi kerajaan negeri, Smart Selangor Mobile Library, Zumbathon, ceramah perdana, Meet & Greet Persatuan Bolasepak Selangor, Forum dan temubual artis, Santai UNISEL serta konsert.

Untuk edisi di Klang ini, Jelajah 360° Smart Selangor diadakan di Jalan Pasar Malam Bukit Kapar bermula 6 hingga 8 September 2019.

© Copyright - Menteri Besar Selangor Incorporated.