PELANCARAN PROGRAM SELANGOR KERJAYA OLEH YAB DATO’ SERI AMIRUDIN BIN SHARI

Sebuah Inisiatif oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dalam usaha untuk memberi penempatan kerja bagi 10,000 warga Selangor Darul Ehsan

Shah Alam – Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Bin Shari melancarkan Program Selangor Kerjaya – sebuah inisiatif oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), bertujuan untuk memacu ekonomi warga Selangor melalui pemadanan kerjaya yang berkesan, hari ini.

Mengambil kira impak COVID-19 serta kecenderungan kehilangan pekerjaan yang dijangka akan terus meningkat, Kerajaan Negeri Selangor prihatin akan perlunya sebuah jalan penyelesaian dalam memulihkan semula ekonomi warga Selangor.

Dengan hasrat untuk memberi latihan semula, peningkatan kemahiran serta penempatan kerja bagi 10,000 individu yang sedang mencari pekerjaan di Selangor – Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif melalui kerjasama dengan Prestariang Systems Sdn Bhd dan Strand Aerospace Malaysia Sdn Bhd, untuk melaksanakan Program Selangor Kerjaya.

Program tersebut bukan sahaja menyediakan latihan serta penempatan kerja, ianya juga bakal membangunkan pangkalan data bakat dan pekerjaan untuk membolehkan penganalisaan data yang menjadi kunci bagi merancang program pemulihan semula ekonomi serta menangani isu pengangguran dalam kalangan warga Selangor pada masa akan datang.

Menurut Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Program Selangor Kerjaya ini bakal memberi peluang kerjaya bagi bakat dan tenaga kerja, serta membantu majikan untuk merancang keperluan bakat yang berkemahiran bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan buat warga Selangor.

Memetik dari ucapan YAB Dato’ Menteri Besar, “Inisiatif Selangor Kerjaya ini telah diumumkan pada 13 Julai 2020 yang lalu, dimana Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan Inisiatif Selangor Kerjaya di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri ke-3, khusus untuk rakyat di Negeri Selangor bagi program pengurusan bakat dan tenaga kerja untuk menangani isu penawaran pekerjaan Pasca Wabak COVID-19, di mana keupayaan akan dibangunkan untuk menyediakan sehingga 10,000 peluang pekerjaan bersesuaian dengan kemahiran tenaga kerja melalui kaedah profiling, upskilling dan job placement dalam tempoh tiga (3) tahun. Sasaran negeri Selangor bagi tahun 2021 adalah menyediakan 2,000 peluang pekerjaan yang akan diisi oleh graduan lepasan Institut Pengajian Tinggi, pelajar lepasan sekolah menengah termasuk latihan vokasional dan tenaga kerja yang telah diberhentikan.

Tambah beliau lagi, “Tenaga kerja yang berjaya akan melalui program latihan dalam talian yang ditetapkan bersama dengan pihak majikan selama setahun bagi mengasah bakat dan kemahiran. Mereka juga akan menjalani proses mentoring bagi memastikan tenaga kerja tersebut menyesuaikan diri dengan baik dalam pekerjaan tersebut. Ia merupakan situasi menang-menang (win-win situation) bagi tenaga kerja, majikan dan juga Kerajaan Negeri dalam menangani isu pengangguran dan penawaran pekerjaan”.

Selangor turut maju setapak lagi dengan mengambil pendekatan kearah mengekalkan Industri Aeroangkasa untuk terus berkembang di negeri Selangor dan menjadikan Selangor hub utama bagi Industri Aeroangkasa di Malaysia, di mana lebih daripada 60% daripada pendapatan bagi industri ini disumbang oleh syarikat-syarikat seperti GE Engine Services Sdn Bhd, Aerobus Malaysia dan UMW Aerospace Sdn Bhd yang beroperasi di Selangor.

Kerajaan Negeri akan membangunkan pangkalan data bersepadu pengurusan bakat, termasuk kerangka kemahiran kerjaya bagi Industri Aeroangkasa, agar dapat menyediakan latihan kemahiran untuk melatih bakat bagi menyokong industri bernilai tinggi dalam menghadapi cabaran pekerjaan Industri 4.0 di Abad Ke 21.

Melalui program ini, keupayaan tenaga kerja bakal merangsang ekonomi Negeri Selangor sebagai pemangkin dalam industri bernilai tinggi yang diperlukan dalam mencapai matlamat menjadikan Selangor sebagai Regional Smart State menjelang 2025.

Perkhidmatan Selangor Kerjaya adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM58 juta untuk membuka peluang pekerjaan di Negeri Selangor bagi warga Selangor.

Individu-individu serta graduan yang sedang mencari kerja, dan juga para majikan yang memerlukan tenaga kerja boleh melayari laman web Selangor Kerjaya (https://www.selangorkerjaya.com.my) atau berhubung terus dengan pasukan Selangor Kerjaya melalui media sosial mereka di (Facebook, Twitter dan Instagram, Linkedin, Twitter dan juga aplikasi Whatsapp) untuk maklumat lanjut.

© Copyright - Menteri Besar Selangor Incorporated.