SHAH ALAM, 11 NOVEMBER 2026 (RABU) – Kerajaan Negeri Selangor hari ini melancarkan SPARK 2027 di Selangor Education Summit 2026 bagi membolehkan pelajar anak Selangor menimba pengalaman kerja sebelum menamatkan pengajian. Peserta akan menjalani latihan industri selama tiga hingga enam bulan dengan elaun RM1,500 sebulan
Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, menyempurnakan pelancaran Selangor Programme for Aspiring, Ready and Knowledgeable Talents (SPARK) di Setia City Convention Centre, Setia Alam. Pelancaran ini merupakan langkah pelaksanaan komitmen elaun latihan industri yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2026.
“Graduan kita memerlukan pengalaman untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi memerlukan pekerjaan untuk memperoleh pengalaman. Selangor mahu memecahkan kitaran ini. Anak muda yang menjalani latihan industri wajar menerima elaun yang setimpal dengan masa dan usaha mereka,” kata YAB Dato’ Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor menerajui pelaksanaan program ini dengan menyediakan 50 penempatan dalam Kumpulan MBI Selangor bagi fasa pertama. Bagi fasa seterusnya, program ini menyasarkan 100 penempatan tambahan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, agensi Kerajaan Negeri dan rakan korporat strategik MBI Selangor. Sasaran keseluruhan program ialah 150 penempatan.
“Peserta SPARK tidak akan sekadar menjadi pemerhati. Mereka akan memikul tugasan projek sebenar, dibimbing terus oleh pihak pengurusan dan dinilai secara berterusan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop.
Pada akhir latihan, peserta akan membentangkan hasil projek mereka kepada panel eksekutif. Organisasi penerima boleh mempertimbangkan peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang untuk peluang pekerjaan.
SPARK 2027 terbuka kepada anak Selangor yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam atau swasta, politeknik atau institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET). Pelajar yang berminat boleh menghantar resume ke hr@mbiselangor.com.my atau memohon melalui borang permohonan SPARK 2027. Borang tersebut juga boleh diakses dengan mengimbas kod QR di bawah. Calon yang terpilih akan dipadankan dengan organisasi penerima.
Imbas untuk membuka borang permohonan SPARK 2027. Log masuk ke akaun Google diperlukan.
END
Latar Belakang Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor)
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor ialah entiti pelaburan strategik milik penuh Kerajaan Negeri Selangor yang berperanan memacu pembangunan ekonomi negeri.
Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.mbiselangor.com
Sebarang Pertanyaan Media:
Aemizureen Kamarudin
Komunikasi Strategik Kumpulan
aemizureen@mbiselangor.com.my
Muhammad Zulhilmi
Komunikasi Strategik Kumpulan
zulhilmi@mbiselangor.com.my

