KSRK ANJUR AKTIVITI ‘BACK TO NATURE’ KE FRIM

Baru-baru ini, KSRK telah membuka peluang kepada ahli-ahlinya untuk menyertai program lawatan ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia atau FRIM. 

Tentunya, saya juga tidak akan melepaskan peluang ini! Program yang diberi nama ‘The Forest Skywalk @ FRIM’ ini telahpun berjaya diadakan pada 18 Mac lepas. Seramai 32 orang peserta daripada kakitangan MBI dan juga ahli KSRK telah terlibat dalam program ini.  

Menurut KSRK, program ini diadakan untuk mengeratkan silaturahim sesama ahlinya dan membolehkan ahli KSRK merasai pengalaman yang baharu. Ia juga julung kali diadakan sepanjang KSRK ditubuhkan. 

Seawal 8.00 pagi, kami berkumpul di lobi Bangunan Darul Ehsan untuk pengesahan kehadiran dan sarapan bersama-sama. Program ini turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Puan Hajah Norita Mohd Sidek.  

Kami memulakan perjalanan pada jam 9.15 pagi dan tiba di FRIM lebih kurang jam 10.00 pagi. Di FRIM, kami dibahagikan kepada empat kumpulan kecil diketuai seorang pegawai FRIM. Bagi kumpulan saya, pegawai pengiringnya ialah En. Samsul Bahrin bin Abdullah daripada Program Hutan Ladang, Bahagian Bioteknologi Perhutanan. 

Selepas sesi taklimat ringkas, kami dibawa menelusuri beberapa ‘check point’ dan diberi penerangan ringkas tentang spesies tumbuh-tumbuhan terpilih. Antara tumbuh-tumbuhan yang diperkenal kepada kami ialah mengkuang pandan dan spesies ‘Artocarpus’, iaitu genus (kelompok) bagi cempedak, nangka, sukun dan terap. Barulah kami tahu sebenarnya cempedak dan sukun adalah bersaudara… Hehe. 

Kemudian, kami ke destinasi yang dinanti-nanti, iaitu ‘The Forest Skywalk’ yang terletak di Taman Botanikal Kepong. Sedikit info menarik tentang ‘skywalk’ — Ia dibina menggunakan aluminium dengan disokong tiub keluli dan ‘guy-wire’. 11 menara dan 8 jambatan kecil yang berbeza ketinggian antara 18 m hingga 50 m disambungkan antara satu sama lain dengan jumlah panjang keseluruhan 250 m. Struktur menara tertinggi pula ialah 141 meter di atas paras laut. 

Selepas hampir 40 minit meniti ‘skywalk’, kami berjalan melalui denai kecil untuk berkumpul di pintu masuk FRIM. Sepanjang perjalanan, En. Samsul bercerita serba sedikit tentang pokok ara, iaitu pokok hutan unik yang tumbuh di kawasan berair. Katanya lagi, jika sesat di hutan, carilah pokok ara kerana di situ ada mata air atau sungai yang mengalir. Ikutlah aliran sungai tersebut hingga ke muara, insyaAllah kita akan berjaya keluar dari hutan… 

Kira-kira jam 12.30 tengah hari, kami ke ibu pejabat FRIM pula dengan menaiki bas. Di sini, kami dibawa melawat Galeri Penyelidikan Muzium FRIM. Banyak artifak menarik dipamerkan di sini. Antaranya potongan kayu-kayan seperti merbau, keruing dan nyatuh, rotan manau, perahu dan katil raja. Cumanya, atas faktor-faktor tertentu, kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar atau merakam artifak-artifak tersebut. Anda perlu rasai pengalamannya sendiri tau! 

Kemudian, kami ‘jungle trekking’ pula ke hutan sekunder berhampiran. Banyak info menarik yang diperoleh. Contohnya, buluh bukanlah pokok tetapi berada dalam keluarga ‘Gramineae’, iaitu rumput! Kami juga dapat melihat sendiri fenomena ‘silara’, iaitu dahan-dahan pokok kapur yang menjulang tinggi ke atas tanpa berselisih. Ia terjadi apabila daun-daun pokok kapur bersaing sesama sendiri (secara adil dan sekata) untuk mendapatkan cahaya matahari.  

Usai aktiviti ini, kami menjamu selera dengan makan tengah hari di kafe FRIM. Alhamdulillah, program tamat dengan jayanya pada jam 2.30 petang dan kami kembali semula ke Shah Alam. Walaupun keletihan, kami amat teruja dengan pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di FRIM. Tahniah buat KSRK dan AJK yang terlibat! Semoga aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, insyaAllah… Pen-off

 

© Copyright - Menteri Besar Selangor Incorporated.