KAKITANGAN MENTERI BESAR SELANGOR (PEMERBADANAN) (MBI) LAFAZ IKRAR BEBAS RASUAH

Shah Alam – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) hari ini mengambil langkah proaktif dalam menerapkan budaya integriti ke dalam organisasi berkenaan dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Majlis menandatangani ikrar tersebut telah diketuai oleh Puan Hajah Norita Mohd Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif MBI sambil disaksikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Alias Salim, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor.

Dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam itu juga, kesemua 172 orang kakitangan MBI melafazkan ikrar bebas rasuah yang dipimpin oleh Encik Muhammad Aizat Kamarudin dari Jabatan Integriti dan Governans. Turut hadir di majlis tersebut adalah pegawai-pegawai SPRM Negeri Selangor.

Menurut Puan Hajah Norita, ikrar ini membuktikan komitmen MBI untuk menerapkan nilai-nilai integriti dan tadbir urus yang baik terhadap setiap warga kerja MBI di samping memupuk nilai-nilai murni dalam menjadikan MBI sebagai sebuah organisasi korporat yang mempunyai nilai integriti yang tinggi, cekap, bertanggungjawab serta amanah.

“Saya berharap agar warga kerja MBI akan menjadikan integriti sebagai teras utama dalam menjalankan tugas harian mereka. Nilai integriti hendaklah menjadi sebahagian daripada DNA dalam diri yang sebati dan dijunjung sepanjang hayat Usaha ini semestinya tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Oleh itu semua pihak harus sama-sama menanam iltizam di dalam diri masing-masing agar menjadi insan yang mempunyai sifar toleransi terhadap amalan atau sebarang bentuk aktiviti yang berkait dengan rasuah,” kata Hajah Norita.

“Saya percaya, mana-mana organisasi yang mahu berkembang maju dan mempunyai nilai yang baik kepada masyarakat, kakitangannya mestilah mengamalkan nilai integriti dengan sepenuh hati. Dengan wujudnya nilai dan amalan integriti yang baik, ianya akan membawa kepada peningkatan jati diri kakitangan, kepercayaan pemegang taruh dan pelbagai pihak yang seterusnya akan membawa kejayaan kepada organisasi terbabit,” tambah beliau.

MBI telah menubuhkan Jabatan Integriti dan Governans selari dengan Panduan SPRM dan Pelan Anti-Rasuah Nasional dalam usaha memperkukuh tadbir urus korporatnya.

© Copyright - Menteri Besar Selangor Incorporated.