PELANTIKAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MENTERI BESAR SELANGOR (PEMERBADANAN) (MBI)

Shah Alam – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dengan sukacitanya memaklumkan pelantikan Puan Hajah Norita binti Mohd Sidek sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu.

Pelantikan Puan Hajah Norita adalah bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif menggantikan YM Raja Shahreen YM Raja Othman yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 30 November 2019 yang lalu.

Puan Hajah Norita yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaya telah berkhidmat selama lebih 30 tahun di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan, perancangan industri termasuk institusi-institusi kerajaan, perhubungan awam, hartanah dan hal ehwal korporat.

MBI Selangor berperanan sebagai sebuah badan korporat yang telah ditubuhkan khas untuk mentadbir pengurusan aset dan pelaburan Kerajaan Negeri serta mewakili Kerajaan Negeri dalam melaksanakan aktiviti berunsur perniagaan yang di luar bidang kuasa pihak Kerajaan Negeri. MBI juga berperanan mempromosi dan mendokong usaha pembangunan Kerajaan Negeri Selangor di samping melunaskan kewajiban tanggungjawab sosial kepada masyarakat melalui inisiatif-inisiatif seperti E-Kitchen, Selangor Advance dan Rumah Idaman.

Di bawah kepimpinan baharu yang diterajui oleh Puan Hajah Norita, MBI Selangor percaya beliau mampu membawa organisasi terus berkembang ke tahap yang lebih tinggi di samping mempunyai tadbir urus korporat yang baik.

© Copyright - Menteri Besar Selangor Incorporated.